Kerjaya politik Yukio Edano

Pada 1993, beliau menyertai Parti Baharu Jepun yang diketuai Morihito Hosokawa dan menang salah satu kerusi di daerah kelima Saitama pada pilihan raya umum Jepun pada masa itu. Beliau menyertai Parti Demokratik Jepun lama ketika saat penubuhannya pada 1996.

Beliau memasuki Parti Demokratik Jepun baharu pada April 1998 dan menjadi naib presiden pertama dalam Jawatankuasa Kajian Dasar.

Edano memenangi pilihan raya Dewan Perwakilan pada Ogos 2009, malah parti yang disertainya menang pilihan raya tersebut dan membentuk kerajaan dengan Yukio Hatoyama sebagai Perdana Menteri. Ketika pembentukan kabinet Hatoyama, Edano dijangka untuk dilantik sebagai seorang menteri,[3] tetapi tidak berjaya. Pada Mac 2010, beliau dilantik sebagai ketua setiausaha partinya selama beberapa bulan sebelum digantikan dengan Katsuya Okada.

Ketua Setiausaha Kabinet

Pada Januari 2011, Edano dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kabinet dan menjawat jawatan sebagai Menteri Luar Negeri Jepun pada sementara waktu pada Mac 2011.

Ketika insiden gempa bumi dan tsunami Tōhoku berlaku pada 11 Mac 2011, beliau giat bertugas sebagai jurucakap, terutamanya berkaitan dengan insiden nuklear Fukushima I. Kebolehan Edano untuk menyalurkan maklumat tanpa persembunyian disamakan oleh pihak media luar dengan Jack Bauer dari siri televisyen 24 disebabkan oleh penyampaiannya yang bertenaga.[4] Malahan, kemunculannya yang begitu kerap dalam media menyebabkan dirinya mendapat perhatian warganet yang risau akan keadaan kesihatannya.[5]

Pada 2 September 2011, kabinet Noda Yoshihiko dibentuk dan Edano tidak lagi menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kabinet.

Parti Demokratik Berperlembagaan Jepun

Pada 2 Oktober 2017, beliau mengasaskan Parti Demokratik Berperlembagaan Jepun dan menjadi pengerusi parti tersebut, tiga bulan sebelum pilihan raya umum Jepun yang seterusnya.[6] Sungguhpun begitu, parti ini menjalankan kempen dengan efektif serta banyak memanfaatkan media sosial.[7][8] Hal ini menyebabkan partinya menjadi parti kedua terbesar dalam Diet Jepun selepas pilihan raya, membolehkan beliau untuk menjadi Ketua Pembangkang Jepun hingga kini.